GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan orang ramai atau pesakit bukan kritikal dan bukan kecemasan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, saranan itu sebagai alternatif bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital kerajaan seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Sebagai contoh bagi pesakit di sekitar bandar Klang dan kawasan berhampiran boleh mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik, KK Pandamaran, KK Bukit Kuda dan klinik kesihatan lain berdekatan.

"Orang ramai perlu ambil maklum Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital kerajaan mengutamakan rawatan khususnya bagi kes kecemasan.

"Keutamaan diberikan kepada kes kecemasan dan kritikal terlebih dahulu. Bantulah kami mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan.

"Orang ramai diminta memberi kerjasama menggunakan fasiliti kesihatan berhampiran untuk rawatan kes biasa dan bukan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebagai tambahan, Dr Sha'ari berkata, sejak Ogos tahun lalu KK Bandar Botanik dibuka kepada orang ramai sehingga jam 9.30 malam pada hari biasa.

"Pada masa kini termasuk hari Sabtu dan Ahad dibuka sehingga 12.30 tengah hari kecuali pada cuti umum.

Selain KK Bandar Botanik katanya, KK Ampang dan KK Kajang juga sudah beroperasi bagi tempoh sama.

"Klinik kesihatan lain juga akan dilanjutkan tempoh operasi secara berperingkat bagi menampung jumlah pesakit bukan kecemasan untuk mengelakkan lambakan kes bukan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital," katanya.

Terdahulu, pihaknya ada membuat tinjauan di Jabatan Kecemasan hospital susulan isu kesesakan dan mendapati ada yang hadir bukan kes kritikal atau kecemasan.

Sebaliknya mereka hadir untuk kes atau masalah kesihatan bukan kecemasan termasuk untuk pemeriksaan darah sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:00 PM