HTAR. FOTO Arkib NSTP
HTAR. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memandang serius dakwaan mengatakan waris pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang perlu melalui prosedur ketat untuk melawat walaupun sudah diberikan kebenaran oleh pegawai perubatan.

Pengarah JKNS Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, siasatan segera dilaksanakan mengenai dakwaan yang turut tular di media sosial itu.

Beliau berkata, pada 21 April lalu Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan selaras dengan hala tuju negara ke arah endemik, pelawat dan penjaga dibenarkan hadir di fasiliti kesihatan semula bermula 23 April.

Katanya, surat edaran Ketua Pengarah Kesihatan yang menggariskan Tatacara Pelawat dan Penjaga turut diedarkan JKNS ke semua fasiliti di negeri ini.

"Bagi HTAR, satu Mesyuarat Penyelarasan Polisi Pelawat dan Penjaga diadakan di peringkat hospital itu pada 25 April untuk merangka serta membentuk polisi pelawat dan penjaga. Polisi berkenaan disesuaikan dengan garis panduan yang sudah dikeluarkan.

"Tujuan utama adalah untuk mengawal kesesakan di wad semasa waktu melawat dan antara langkah yang dilakukan oleh pihak HTAR adalah dengan mengeluarkan Pas Lawatan supaya pihak pengurusan wad dapat menentukan jumlah pelawat pada setiap satu sesi lawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang pelawat dibenarkan melawat pesakit selama 30 minit sahaja pada satu-satu masa dan kapasiti pelawat pada setiap satu masa bergantung kepada jumlah pesakit dalam satu wad.

Katanya, jumlah pelawat tidak melebihi 50 orang pada setiap sesi lawatan dan penambahan pelawat boleh dibenarkan untuk kes-kes tertentu serta boleh diubah suai mengikut keadaan.

"Dalam masa yang sama, JKNS akan memastikan dasar dan peraturan yang ditetapkan dalam Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat di Hospital KKM semasa Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19 dikuatkuasakan dengan sebaik-sebaiknya.

"Justeru, JKNS ingin memaklumkan bahawa polisi pelawat dan penjaga yang disesuaikan dengan keperluan HTAR disediakan dengan bertujuan baik dan tiada halangan atas pelawat yang ingin menziarahi pesakit, namun perlu mematuhi garis panduan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:02 PM