DATUK Dr Sha’ari Ngadiman. FOTO Bernama
DATUK Dr Sha’ari Ngadiman. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sudah menyiasat aduan berhubung kematian seorang wanita warga emas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya juga sudah cuba berhubung dengan waris untuk mengadakan pertemuan bersama HTAR dan waris.

"Pesakit adalah wanita berbangsa India berusia 69 tahun yang mempunyai pelbagai komorbid mendapatkan rawatan di HTAR pada 25 Oktober tahun lalu dengan diagnosis Covid-19 Kategori 4.

"Bagaimanapun, pesakit mengalami komplikasi susulan jangkitan Covid-19 dan meninggal dunia pada 28 November tahun lalu.

"KKM bersimpati dengan pemergian mendiang dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu Dr Sha'ari berkata, waris mendiang ada mengemukakan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) pada 13 Januari lalu.

"Pihak HTAR sudah menyiasat aduan berkenaan di pelbagai peringkat berdasarkan garis panduan sedia ada di KKM.

"Bagaimanapun, setakat ini waris mendiang belum bersedia untuk menghadiri sesi pertemuan antara pihak HTAR dan waris.

"Susulan itu, pihak KKM meneliti aduan ini dan memutuskan untuk menghubungi pengadu bagi mengaturkan pertemuan bagi memaklumkan hasil siasatan," katanya.

Beliau berkata, waris boleh menghubungi pihak HTAR, JKNS atau Bahagian Amalan Perubatan KKM sekiranya memerlukan maklumat lanjut berhubung proses pengurusan aduan ini.

Katanya, KKM melalui JKNS mengambil maklum surat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kepada Menteri Kesihatan bertarikh 26 April lalu berhubung kematian wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:22 PM