ANGGOTA bomba turut terbabit SAR bagi mengesan dua lagi mangsa bot karam berkenaan. FOTO  Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba turut terbabit SAR bagi mengesan dua lagi mangsa bot karam berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Lima individu lemas, manakala dua lagi dilaporkan masih hilang selepas pam bot yang dinaiki bersama 20 yang lain karam di kawasan perairan berhampiran Pulau Tanduoan, dekat sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, 13 penumpang ditemukan selamat selepas diselamatkan penduduk kampung dan nelayan setempat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian pada 9.10 malam.

Beliau berkata, laporan awal yang diterima memaklumkan lima individu dilaporkan lemas, manakala identiti mangsa yang masih hilang belum diperolehi.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, dianggarkan seramai 20 penumpang berada di dalam pam bot terbabit sebelum dilaporkan terbalik.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba dan dibantu agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan.

"Butiran dan maklumat lanjut masih dalam siasatan pihak polis," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:27 AM