Gerakan mencari baki seorang lagi mangsa bot karam di kawasan perairan Batu Payung, Tawau diteruskan pagi ini. FOTO Ihsan Bomba.
Gerakan mencari baki seorang lagi mangsa bot karam di kawasan perairan Batu Payung, Tawau diteruskan pagi ini. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Dua daripada tiga beradik yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di perairan Kampung Batu Payung, dekat sini, petang semalam ditemukan lemas, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mayat mereka ditemukan oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat Jaidi Muhaimin, 5, ditemukan di pesisir pantai pada 6.30 pagi, manakala mayat abangnya Saiful, 15, ditemukan terapung di kawasan perairan Tinagat pada 8.58 pagi.

"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rahena, 20, masih belum dijumpai dan operasi SAR masih diteruskan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, bot yang membawa sembilan mangsa dipercayai berpatah balik dari Kampung Rawa-Rawa sebelum karam akibat dipukul ombak.

Enam daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Sementara itu, operasi SAR hari ini membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela selain penduduk kampung bersama 20 bot.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 12:05 PM