KEGAGALAN sistem kemudi disyaki punca berlaku pelanggaran dua kapal di perairan Muar, kira-kira jam 12.03 tengah malam tadi. FOTO ihsan Maritim Johor
KEGAGALAN sistem kemudi disyaki punca berlaku pelanggaran dua kapal di perairan Muar, kira-kira jam 12.03 tengah malam tadi. FOTO ihsan Maritim Johor
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kegagalan sistem kemudi disyaki punca pelanggaran dua kapal di perairan Muar tengah malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal MV Galapagos yang berdaftar dari Malta dilaporkan mengalami kegagalan sistem kemudi dan bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memotong.

Katanya, MV Zephy Lumos yang berdaftar dari Great Britain gagal untuk mengelak himpitan MV Galapagos dan berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal.

"MV Zephy Lumos membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez dan dilaporkan terlanggar kapal MV Galapagos yang dalam pelayaran ke India di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar.

"Kru kedua-dua kapal dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan maklumat yang diperolehi MV Galapagos mempunyai 23 kru, manakala MV Zephyr Lumos mempunyai 26 kru.

"Siasatan awal Bot Kilat Maritim Negeri Johor ke atas kerosakan badan MV Galapagos mendapati terdapat kesan tompokan tumpahan minyak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kapal kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan menerusi Maritime Rescue Coordinator Centre (MRCC) Putrajaya berhubung kejadian itu pada jam 12.03 tengah malam dari MV Zephyer Lumos.

Manakala isyarat kecemasan MV Galapagos diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:31 PM