Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa tunggal yang terselamat dalam tragei kepala air di Titi Hayun, Gunung Jerai di Yan pada 18 Ogos tahun lalu, akhirnya meninggal dunia, hari ini akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Abdullah Morad, 59, pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang juga Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Perlis itu meninggal dunia pada 3.30 pagi di rumahnya di Taman Murni, Jalan Putra, Mergong, selepas hampir enam bulan kejadian itu berlalu.

Allahyarham selamat dalam kejadian kepala air itu selepas terperangkap di bawah timbunan dahan dan akar kayu hampir enam jam sebelum diselamatkan pasukan penyelamat manakala enam mangsa termasuk abangnya dihanyutkan air deras dan ditemui meninggal dunia.

Dia yang putus urat betis kiri, jari kelingking tangan kiri putus, kedua-dua belah lengan dan kaki lebam serta calar akibat kejadian itu terlantar sakit dan kesihatannya turut merosot pada awal bulan ini.

Menantunya, Mohamad Muaz Mohd Idris, 32, berkata, tahap kesihatan bapa mentuanya semakin merosot sejak semalam selepas keluar dari wad sebuah pusat perubatan swasta di bandar raya ini, kelmarin.

Katanya, doktor mengesahkan paru-parunya arwah mempunyai jangkitan kuman dan kesihatan bapa mentuanya semakin merosot selepas menjalani pembedahan membuang air di paru-parunya.

"Arwah abah ada beritahu dia selalu teringatkan arwah pak long, Zainol Morad, 68, yang terkorban dalam insiden itu kerana hubungan mereka sangat akrab.

"Abah pernah berpesan kepada kami anak menantu supaya berbaik-baik dan usah sesekali putuskan hubungan silaturahim kalau dia tak ada nanti. Itu yang dia pesan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Murni, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Amran Jusoh turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Mohamad Muaz berkata, jenazah bapa mentuanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Sali, Mergong selepas solat Jumaat, hari ini.

Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Wan Hamizi Wan Mohd Zin (kiri) dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Amran Jusoh mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdullah Morad. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Wan Hamizi Wan Mohd Zin (kiri) dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Amran Jusoh mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdullah Morad. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Jirannya, Fauzi Othman, 67, berkata, kehilangan arwah sukar dicari ganti kerana sepanjang hidupnya arwah sentiasa berbuat kebaikan selain tidak pernah meninggalkan solat di masjid.

Katanya, dia sering menziarahi Abdullah yang terlantar sakit sejak kejadian itu dan kagum dengan semangat arwah kerana ketika terlantar sakit, dia sempat menyiapkan tugasannya.

"Seminggu sebelum kejadian, arwah bertungkus-lumus menyiapkan khemah di dusunnya di Titi Hayun dan membawa dua anak saya makan durian di sana.

"Hubungan kami sangat erat hingga akhir hayatnya, " katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Hamizi berkata, beliau mewakili seluruh warga JBPM Kedah mengucapkan takziah dengan pemergian arwah yang disifatkan kehilangan besar kerana pernah bertugas di JBPM Kedah sebelum bersara pada 1995.

Ahli keluarga dan sanak saudara yang menziarahi jenazah Abdullah Morad yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di rumahnya di Taman Murni, Jalan Putra, Mergong. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ahli keluarga dan sanak saudara yang menziarahi jenazah Abdullah Morad yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di rumahnya di Taman Murni, Jalan Putra, Mergong. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 2:28 PM