Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Sebuah gudang menempatkan bahan memproses minuman dua tingkat kelas B di Kilang DXN, Jalan Bukit Wang, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, semua 800 pekerja di kilang itu berjaya keluar menyelamatkan diri ketika api sedang merebak.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 12.13 tengah hari.

Beliau berkata, tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Alor Setar dan Jalan Raja tiba di lokasi pada 12.24 tengah hari.

"Operasi disertai 24 anggota dan dua pegawai bersama empat jentera serta sebuah jentera tangki.

"Selain itu, sembilan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut serta dalam operasi itu," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

GUDANG menyimpan bahan memproses minuman di kilang DXN, Jalan Wang Tepus yang terbakar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
GUDANG menyimpan bahan memproses minuman di kilang DXN, Jalan Wang Tepus yang terbakar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Wan Hamizi berkata, anggaran peratusan kebakaran adalah sebanyak 70 peratus dan api merebak dengan cepat disebabkan cuaca panas selain angin kencang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati gudang itu mempunyai bahan seperti serbuk kopi, gula, krimer dan sebuah mesin memproses produk.

Seorang peniaga warung yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi siren beberapa jentera bomba sebelum ternampak kepulan asap di kawasan kilang berkenaan.

Katanya, tiada letupan berlaku ketika itu menyebabkan dia tidak sedar kebakaran itu.

"Saya cuma nampak ramai pekerja kilang itu berhimpun di luar kawasan kilang ketika kebakaran berlaku, nasib baik semuanya selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:32 PM