Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Hasrat kanak-kanak pesakit kanser saraf, Muhammad Ammar Mohd Suhaimi, 7, untuk memakai pakaian seragam dan menaiki jentera bomba ditunaikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, hari ini.

Malah, Muhammad Ammar dilihat seolah-olah melupakan seketika penderitaan yang dialaminya apabila berpeluang bertemu sendiri dengan Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon yang meluangkan masa untuk menemuinya.

Dia ditemui ibu bapanya, Farah Wahida Md Ishak, 37, dan Mohd Suhaimi Zakaria, 43, serta empat adik beradiknya bagi merakam kenangan bersama pegawai dan anggota bomba.

Farah Wahida berkata, Muhammad Ammar teruja untuk datang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar selepas dimaklumkan akan bertemu dengan anggota bomba sempena Hari Malaysia.

Katanya, dia bersyukur apabila pihak bomba sanggup menyediakan kek bagi meraikan hari lahir Muhammad Ammar selain merealisasikan impiannya untuk memakai seragam anggota bomba walaupun sehari.

"Memang doktor menjangkakan dia hanya akan bertahan lima bulan lagi kerana rawatan kimoterapi yang dilakukan sebelum ini tidak membantu disebabkan kanser neuroblastoma yang dihidapinya semakin merebak.

"Sebagai ibu, saya sudah puas menangis namun mendapat kata-kata semangat dari rakan-rakan yang mengalami nasib yang sama seperti saya selain saya cuba menggembirakan hati anak saya dan dia sangat gembira hari ini," katanya ketika ditemui di BBP Alor Setar, hari ini.

Menurut Farah Wahida, dia bersyukur kerana selepas kisah anaknya disiarkan Harian Metro minggu lalu, ada pihak sanggup datang dari Selangor untuk menaja Muhammad Ammar serta mereka sekeluarga ke Underwater World di Langkawi kerana itu antara impiannya sebelum ini.

MUHAMMAD Ammar Mohd Suhaimi, 7, berpeluang menaiki motosikal RIM di BBP Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MUHAMMAD Ammar Mohd Suhaimi, 7, berpeluang menaiki motosikal RIM di BBP Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, walaupun doktor menjangkakan hayat anaknya tidak lama namun hanya Allah yang berkuasa dan dia sentiasa berdoa supaya anak keempat dari lima beradik itu dipanjangkan usia.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) kerana turut membantu kami sebelum ini dan meraikan hari lahir Ammar minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Sayani berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat menunaikan impian Muhammad Ammar seperti yang diimpikan sebelum ini untuk memakai seragam bomba.

Katanya, dengan dipakaikan seragam dari Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (3K) JBPM, Muhammad Ammar turut dibawa menaiki jentera bomba, motosikal dari Unit RIM serta berpeluang menggunakan salur bantu mula (hose) untuk memadam kebakaran.

"Kami turut meraikan hari lahirnya dengan ditemani Maskot Edie dari BBP Alor Setar dan keseluruhan program ini dikendalikan Ketua BBP Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah dan Ketua BBP Pendang, Mohd Ezzat Emran Ezani.

"Kami seluruh pegawai dan anggota dari JBPM Kedah sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Muhammad Ammar semakin baik dan semoga dia gembira dengan apa yang kami tunaikan hari ini," katanya.

Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Wan Hamizi Wan Mohd Zain.

Harian Metro sebelum ini melaporkan doktor menjangkakan hayat Muhammad Ammar dijangka hanya akan bertahan hanya lima bulan kerana kanser saraf yang dihidapinya sudah merebak.

Kanak-kanak itu juga berhasrat untuk memakai baju seragam bomba dan menaiki jentera kerana bercita-cita untuk menjadi anggota bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:35 PM