Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Saya terdengar letupan kuat di rumah jiran sebelum ternampak api menyambar di beberapa rumah dan ketika itu saya hanya sempat membawa keluar peti sejuk dan sebahagian wang tunai yang disimpan dalam rumah," kata Nazri Hamzah, 40.

Dalam kejadian pada 3.40 petang hari ini, sebanyak 10 buah rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sorok Korok di sini musnah terbakar.

Nazri berkata, ketika kejadian dia sedang duduk di hadapan rumah sebelum terdengar jeritan beberapa jirannya meminta tolong.

Katanya, ketika itu dia cuba membantu untuk menyelamatkan jirannya terutama yang mempunyai anak kecil namun mereka berjaya keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

"Sebahagian daripada wang tunai yang saya simpan di rumah kira-kira RM7,000 hangus terbakar, manakala sebahagiannya berjaya diselamatkan.

"Hanya dalam tempoh 20 minit, habis sebahagian rumah musnah dalam kebakaran ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 3.43 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan dibantu BBP Alor Setar tiba di lokasi pada 3.50 petang.

"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Alor Mengkudu, Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Kuala Kedah.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api dari merebak dan setakat ini kerja memadam masih dilakukan," katanya.

Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain.

Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi memaklumkan jalan di kawasan itu sempit dan jentera tangki air tidak boleh memasuki laluan berkenaan.

Menurutnya, operasi memadam api menggunakan sumber air terbuka (sungai) menggunakan pam angkut dan dari tangki jentera.

"Faktor api merebak dengan cepat adalah disebabkan angin dan kesemua rumah ini adalah dari kelas B iaitu separa batu dan kayu, malah kedudukan rumah pada jarak rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.

"Operasi disertai 11 anggota dari BBP Jalan Raja dan dibantu 15 anggota BBP Alor Setar serta 12 pegawai dari JBPM Kedah," katanya.

Sebahagian daripada 10 rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, yang musnah dalam kebakaran. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sebahagian daripada 10 rumah di Jalan Seberang Kereta Api, Sungai Korok, yang musnah dalam kebakaran. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 8:37 PM