Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Siasatan awal punca kebakaran pusat hiburan karaoke di Jalan Putra, Mergong yang mengakibatkan tiga mangsa meninggal dunia, Jumaat lalu disyaki akibat kegagalan pendawaian elektrik.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, sampel dari lokasi kejadian sudah dihantar ke makmal Forensik kebakaran JBPM di Pulau Pinang untuk dianalisa dan keputusan penuh masih belum diperolehi.

Menurutnya, sampel kebakaran pendingin hawa juga diambil dari lokasi kebakaran dan sedang dianalisis di bilik analisa forensik kebakaran JBPM Negeri Kedah.

"Punca kejadian kebakaran yang berlaku di pusat karaoke beberapa hari yang lepas menyebabkan kematian tiga orang, siasatan yang kita dapati sebenarnya punca masih belum kita temui.

"Tetapi siasatan awal ada kemungkinan daripada segi kegagalan pendawaian elektrik kerana pusat karaoke biasanya dilengkapi dengan peralatan yang memerlukan penggunaan kadar elektrik yang banyak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron.

SAYANI (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAYANI (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Terdahulu Sayani turut menyampaikan 700 bekas bubur lambuk dan 15 alat pemadam api kepada pengguna lalu lintas.

Dalam kejadian Jumaat lalu, tiga pelanggan pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong ditemui maut manakala lapan lagi mangsa terselamat dalam kebakaran di premis bangunan dua tingkat itu.

Dalam pada itu, Sayani berkata, JBPM Kedah turut menempatkan pasukan Bomba dengan sebuah jentera dan sebuah jentera EMRS di Plaza Tol Gurun bermula esok sehingga 8 Mei ini sebagai persediaan menghadapi sebarang insiden yang berlaku di jalan raya menjelang sambutan Aidilfitri ini.

MAYAT dua daripada tiga mangsa kebaran pusat karaoke, Jumaat lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MAYAT dua daripada tiga mangsa kebaran pusat karaoke, Jumaat lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 11:29 PM