Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan operasi nyah cemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Kawasan yang menjalani proses sanitasi itu merangkumi tempat awam termasuk di bilik kawalan, kaunter Balai Polis Alor Setar dan sel lokap.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sanitasi dilakukan selama 40 minit itu disertai Pakar Hazmat JBPM Kedah, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah.

Beliau berkata, operasi turut disertai lima pegawai JBPM Kedah dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

“Kita menggunakan cecair ‘sodium hyperchlorite’ untuk proses nyah cemar di lokasi yang menjadi tempat orang ramai berurusan.

“Ini adalah IPD pertama yang menjalani sanitasi awam di negeri ini dan kita akan melakukannya secara berperingkat untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Dalam pada itu, Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini pihaknya sudah melakukan 31 sanitasi awam termasuk kompleks beli belah dan pasar awam.

Beliau berkata, pihaknya berusaha untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghapuskan rantaian Covid-19 daripada terus merebak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    ANGGOTA bomba melakukan sanitasi di kawasan kaunter Balai Polis Alor Setar untuk mengekang penularan wabak Covid-19. FOTO Zuliaty Zulkiffli
    ANGGOTA bomba melakukan sanitasi di kawasan kaunter Balai Polis Alor Setar untuk mengekang penularan wabak Covid-19. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 1:09 PM