Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur tetap diadakan tahun ini walaupun penularan wabak Covid-19 sedang menunjukkan trend meningkat.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang menyiapkan memorandum jemaah menteri bagi permohonan peruntukan menganjurkan SUKMA berkenaan.

Katanya, KBS juga akan mengumumkan tarikh penganjuran SUKMA Kuala Lumpur, selewat-lewatnya, akhir bulan ini.

"Namun skala pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemuramah selepas Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemuramah selepas Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Saya percaya kalau kita terus menjaga SOP sebagainya, tiada acara yang boleh terganggu.

"Ia (SUKMA Kuala Lumpur) hanya akan terganggu jika orang ramai tidak patuh kepada SOP yang akan menyebabkan lebih banyak jangkitan dan apabila itu berlaku tentunya akan merencatkan kemeriahan apa juga penganjuran acara termasuk sukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara (KRMSAU) di Bandar Penawar di sini, hari ini.

Hari ini kes jangkitan harian Covid-19 dilaporkan meningkat kepada 13,944 kes berbanding hanya 11,034 kes semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan fasiliti bagi SUKMA Johor yang bakal diadakan pada 2024, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri diharap supaya sentiasa melakukan penyelenggaraan dan dibuka untuk kegunaan acara sukan.

"Penyelenggaraan kalau pun tidak ada SUKMA, kita tetap kena selenggara. Saya mohon semua pihak sebagai penyelenggara fasiliti hendaklah menjaga kemudahan sukan dengan baik supaya ia kekal berada dalam keadaan terbaik.

"Semua fasiliti kita bina adalah menggunakan kantung (peruntukan) daripada kerajaan dan ia wang rakyat amat perlu kita jaga sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:35 PM