Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Tindakan pimpinan bahagian dan ahli BERSATU di negeri ini yang meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan semangat pimpinan dan ahli yang masih setia dan kekal bertahan.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemimpin dan ahli yang masih setia adalah mereka yang tetap pendirian dan menolak kemungkaran serta salah guna kuasa.

"Saya yakin bagi mereka yang tetap pendirian dan yakin perjuangan BERSATU, yang menolak kemungkaran akan menentang puak yang telah salah guna kuasa suatu ketika dulu dan akan terus bertahan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

"Yang tergoda dengan janji atau atau apa jua perjanjian itu terpulang. Saya yakin sebahagian besar rakyat dan orang ramai, faham perkara ini dan akan turut tolak kemungkaran dan kleptokrasi serta salah guna. Rakyat tidak bodoh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara (KRMSAU) di Bandar Penawar di sini, hari ini.

Kelmarin, beberapa pimpinan BERSATU Tanjung Piai bersama 300 ahli cawangan bahagian itu dilaporkan meninggalkan parti berkuat kuasa serta merta.

Sebelum itu, dua Ahli Dewan Undangan Neger (ADUN) BERSATU iaitu Mazlan Bujang yang juga Ketua BERSATU Tebrau serta Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor meninggalkan parti itu minggu lalu.

Ditanya bila calon BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Johor akan diumumkan, Ahmad Faizal berkata beliau masih tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

"Saya tiada maklumat bila calon BERSATU dan PN bagi PRN Johor akan diumumkan, namun tarikhnya akan diumumkan sebaik semua maklumat yang ada sudah tersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:13 PM