Aida Adilah Mat dan Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Walaupun kontinjen negara disasarkan meraih enam pingat emas, mereka diyakini mampu meraih tujuh emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham bermula 28 Julai sehingga 8 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus akan menyamai pencapaian pada edisi 2018 di Gold Coast.

"Saya dan seluruh Keluarga Malaysia berharap agar kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat yang sudah disasarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di temasya sukan itu nanti.

"Saya menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa sasaran pingat negara dapat dicapai menandingi bilangan tujuh emas yang pernah dimenangi oleh jaguh-jaguh kita semasa Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia.

"Justeru, atlet negara ke Birmingham ini harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia.

"Kalah menang sebenarnya adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak-anak Malaysia. Semangat Harimau Malaya yang sebenar-benarnya," katanya ketika berucap Majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Shahrul Zaman pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Jalur Gemilang kepada Shahrul Zaman pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASWADI ALIAS

Sasaran baharu enam emas itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin dan percaya atlet negara akan memberikan yang terbaik dan mempamerkan aksi maksimum apabila menyarungi jersi Harimau Malaysia di pentas Sukan Komanwel Birmingham nanti.

"Sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat serta menjadi wadah untuk membentuk kebersamaan Keluarga Malaysia.

"Jadikanlah sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu padu serta semarakkan nilai-nilai ini untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan damai," katanya.

Kontinjen negara di Birmiingham terdiri daripada 162 orang membabitkan 105 atlet, 44 pegawai dan 13 kakitangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:35 PM