MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sesekali menganaktirikan mana-mana acara sukan, namun pengguguran beberapa acara di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, ada sebab tersendiri.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan keputusan itu dibuat bersama semua pihak yang terbabit dalam penganjuran sukan dwitahunan itu dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu, hari ini.

"MSN akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu esok (hari ini) dan saya selaku Menteri Belia dan Sukan mengambil berat serta memberi perhatian khusus, namun saya percaya ada jawapan mengenai perkara itu.

"Tentunya saya dan pentadbiran tertinggi KBS, begitu juga MSN tidak akan menganaktirikan mana-mana sukan sekalipun, tapi ada perkara yang boleh kita bagi penerangan mengapa keputusan itu dibuat.

"Saya ingin nyatakan setiap keputusan dibuat adalah keputusan bersama yang turut diwakili semua pihak terbabit dalam penganjuran Sukma melalui Jawatankuasa Tertinggi Sukma edisi ke-20 ini," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), hadir dalam Himpunan PN peringkat negeri Kelantan sempena sambutan ulang tahun ke-2 PN di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Mengulas mengenai penggunaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk sebuah konsert artis antarabangsa, baru-baru ini yang didakwa mendatangkan impak kepada pertarungan final Piala FA antara Terengganu FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 September ini di lokasi sama, Ahmad Faizal enggan mengeruhkan keadaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan stadium itu untuk sebarang acara tentunya sudah dipastikan kesesuaiannya termasuk fasiliti yang berada dalam keadaan baik.

"Kita yakin apabila orang yang nak guna fasiliti stadium kita, mereka sudah hantar pasukan teknikal untuk memeriksa keadaan padang, stadium dan sebagainya.

"Hanya apabila mereka berpuas hati, mereka akan bersetuju untuk gunakan atau menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil. Namun jika tak sesuai, tiada siapa nak sewa.

"Kalau semua pihak bersetuju, saya benarkan (guna) demi kepentingan bola sepak negara, namun jika ada kekurangan dan tidak sesuai diadakan, kami bersetuju jika diadakan di tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 1:43 PM