AHMAD Faizal (dua dari kanan) pada praperlancaran EISKL 2022, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AHMAD Faizal (dua dari kanan) pada praperlancaran EISKL 2022, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dilanda beberapa kontroversi seperti isu doping, insiden kejar pengadil, pingat ditarik, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempunyai pandangan berbeza.

Beliau berkata, penganjuran kali ini tetap berlangsung dengan baik meskipun terdapat beberapa perkara tidak dapat dielakkan seperti insiden berkenaan.

"Sebenarnya, saya lihat ia tidak begitu teruk. Masalah doping ada masa 2018 (edisi di Perak) dan sebelumnya. Namun saya kira, usaha kita untuk memastikan atlet kita yang sudah membuat persiapan untuk mengambil bahagian itu tercapai.

"Yang saya kecewa kerana ada acara digugurkan, tetapi seperti dimaklumkan sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited bekerjasama dengan persatuan negeri untuk menganjurkan acara sukan itu di peringkat kebangsaan.

"Daripada sudut lain itu, saya amat bersyukur dengan Sukma edisi ke-20 ini dan berharap akan menjadi temasya yang lebih baik pada masa akan datang," kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santai bersama Ketua Syarikat Pemain Industri Sukan Malaysia dan pra pelancaran Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, EISKL 2022 adalah satu ekspo sukan yang pertama kali dianjurkan KBS dan bakal menghimpunkan semua penggiat dan pemain industri sukan terdiri daripada pelbagai segmen seperti peruncitan, pembuatan barangan sukan, pembinaan fasiliti, teknologi, perubatan, pendidikan dan pengurusan venue dan acara.

"Saya berharap ia akan menjadi perintis kepada kerjasama erat antara pemain industri dan KBS. KBS ingin menjadikan Kompleks Sukan Bukit Jalil sebagai hub industri sukan yang menjadi tumpuan bagi kegiatan sukan, rekreasi, hiburan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

"Semoga Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur akan menjadi acara peringkat antarabangsa yang mampu menarik penyertaan dari seluruh dunia," kata Ahmad Faizal mengenai EISKL yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 9 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 4:35 PM