AHMAD Faizal berkata mereka sudah ada keputusan yang belum diumumkan. FOTO Bernama
AHMAD Faizal berkata mereka sudah ada keputusan yang belum diumumkan. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sukan Malaysia (Sukma) 2024 mungkin akan menyaksikan Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang berminat bagi menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada edisi berkenaan.

"Mungkin MSN akan putuskan untuk diadakan juga di Kuala Lumpur atau di negeri yang kita fikir mahu bekerjasama menganjurkannya.

"Tidak menjadi tanda tanya kerana kita memang sudah ada keputusan yang belum kita umumkan," katanya yang menjawab pertanyaan media berhubung siapa yang bakal menjadi tuan rumah Sukma 2024 ketika ditemui selepas majlis makan malam bersama kontinjen negeri sempena Sukma 2022, malam tadi.

Sebelum ini, Johor dilaporkan berminat bagi menjadi tuan rumah Sukma 2024 selepas terpaksa menangguhkan dan mengembalikan hak penganjuran kepada MSN untuk edisi 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Ahmad Faizal berkata, hak penganjuran Sukma adalah milik kerajaan persekutuan melalui MSN dan ia tetap akan diadakan setiap dua tahun sekali.

"Sebelum ini, pihak MSN bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menganjurkannya. Hasil daripada itu, negeri-negeri yang menyambut hak menjadi tuan rumah…kerajaan pusat telah membina fasiliti bertaraf antarabangsa.

"Alhamdulillah, hasil itu kita dapati hanya Kelantan belum dapat hak menjadi tuan rumah dan kini mereka akan menjadi tuan rumah pada 2026. Kerajaan persekutuan sedang berusaha menyiapkan fasiliti sukan seperti stadium besar di Bukit Merbau dan sekitar bandaraya Kota Bharu.

"Ini akan merancakkan aktiviti sukan di negeri berkenaan. Jadi, ke mana kita mahu bawa Sukma ini tidak penting kerana fasiliti hampir siap di seluruh negara. Yang pentingnya, SUKMA akan terus diadakan dua tahun sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 11:16 AM