AHMAD Faizal  (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Nilai. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AHMAD Faizal (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Nilai. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) terbaharu di Nilai bernilai RM50 juta bakal menjadi hub sukan terbaharu membabitkan beberapa acara sukan susulan mempunyai kemudahan yang lengkap, terkini dan selesa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sukan itu membabitkan sukan memanah, tinju, futsal, muaythai, basikal dan pencak silat.

Beliau berkata, kompleks itu bagi menggantikan Kompleks Sukan MSN Datuk Keramat Kuala Lumpur yang diambil alih semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ia akan memulakan operasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

"Saya menaruh harapan tinggi kepada MSN agar dapat menggunakan kemudahan di kompleks sukan ini bagi meningkatkan prestasi atlet kita. Tahniah kepada MSN kerana dapat rumah baharu di sini. Saya lihat fasiliti disediakan di sini amat baik seperti hostel yang mempunyai 44 bilik boleh menempatkan sehingga 200 atlet. Tempat latihan di sini amat kondusif bagi atlet," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, KBS akan mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membenarkan mana-mana atlet menyertai kejohanan di luar negara.

Beliau menggesa semua pihak terutama persatuan sukan agar dapat terus memantau dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi bagi menjamin tahap kesihatan pegawai dan atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:38 PM