Bot beserta tongkang yang sarat dengan muatan pasir kuari yang berjaya ditahan pasukan APMM Bintulu, semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Bot beserta tongkang yang sarat dengan muatan pasir kuari yang berjaya ditahan pasukan APMM Bintulu, semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot tunda membawa tongkang bermuatan pasir seberat 2,800 metrik tan kira-kira satu batu nautika dari muara Sungai Kemena, di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pihaknya mengesan bot tunda berserta tongkang membawa muatan pasir sekitar 4.05 petang.

Menurutnya, pihaknya kemudian bertindak menahan bot tunda yang dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu terbabit bagi menjalankan pemeriksaan.

"Hasil semakan mendapati ianya disyaki beroperasi tanpa dokumen kebenaran membawa barang berduti, manakala borang pelepasan pelabuhan tamat tempoh.

"APMM turut menahan enam kru bot tunda terbabit dua warga India dan dua warga Indonesia berusia 27 hingga 57 tahun yang mempunyai dokumen lengkap untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, bot tunda dan tongkang berkenaan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 5:43 PM