TIGA bot tunda beserta tongkang sarat dengan 680 muatan kayu balak yang ditahan pasukan APMM Bintulu di muara Sungai Kemena  malam tadi.FOTO Erika George
TIGA bot tunda beserta tongkang sarat dengan 680 muatan kayu balak yang ditahan pasukan APMM Bintulu di muara Sungai Kemena malam tadi.FOTO Erika George
Erika George


Bintulu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot tunda dan tiga tongkang ketika sibuk memunggah 680 batang balak bercukai tanpa dokumen sah kira-kira 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6 petang, Kapal Maritim (KM) Renggis yang sedang menjalankan Op Permai di perairan Bintulu mengesan bot dan tongkang berkenaan.

Pengarah APMM Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, mereka dilihat sedang memindahkan muatan barangan bercukai disyaki kayu balak dari sebuah kapal berpengkalan di Papua New Guinea di lokasi itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tunda dan tongkang itu melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut dengan menggunakan dokumen kebenaran tamat tempoh termasuk gagal mengemukakan 'Domestic Shipping Licence' (DSL).

"Berikutan itu, kesemua 16 kru termasuk tiga nakhoda terdiri 11 warga tempatan, dua warga Indonesia dan tiga warga India berusia 21 hingga 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan yang dijalankan mendapati kesemua 16 kru terbabit mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua kru bersama tiga bot tunda dan tiga tongkang kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 5:00 PM