FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Bintulu: Mayat seorang wanita, mangsa perahu karam ditemui terapung kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian di Sungai Kemena, di sini, menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang seramai lima orang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hata Gobel berkata, pasukan menyelamat menemui mangsa kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, mayat berusia lingkungan 40-an itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua ini diteruskan dengan kerjasama daripada 15 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Pasukan Bomba Sukarela dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, tujuh dikhuatiri lemas apabila perahu panjang yang dinaiki lapan sekeluarga karam akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Kemena di sini.

Seorang ahli keluarga yang bertindak sebagai pemandu perahu, Johnnie Ganeng, 31 berjaya menyelamatkan diri, manakala mayat pertama seorang wanita warga emas Jaba Lembang, 63 ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 9:01 AM