ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki maut manakala 11 lagi sesak nafas, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki maut manakala 11 lagi sesak nafas, hari ini. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Melihat asap tebal menyelubungi bilik, saya terus lari menyelamatkan diri," kata Mohamad Zaini Mohamed Said, yang juga penghuni di bangunan di Jalan Dato Haji Eusoff Off Jalan Ipoh, di sini, yang terbakar, hari ini.

Mohamad Zaini, 57, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak untuk makan malam sebelum menyedari biliknya di tingkat satu bangunan itu dipenuhi asap tebal pada 5 petang tadi.

Menurutnya, dia cuba mengikuti punca asap itu dan menyedari ia datang dari bilik sebelah.

"Saya terus mengambil dokumen penting serta komputer riba yang diletakkan di dalam beg galas sebelum keluar dari bilik.

"Saya ada mendengar bunyi orang batuk dengan kuat di bilik berkenaan dan cuba membantu mereka untuk keluar dengan mengetuk pintu, namun tiada sesiapa memberi maklum balas.

"Selepas beberapa minit mengetuk pintu dan tiada jawapan dari mereka, saya terus keluar menyelamatkan diri bersama seorang lagi jiran wanita," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Beliau yang bekerja sebagai pencipta kandungan YouTube berkata, dia tinggal di bilik berkenaan sejak empat bulan lalu.

Menurutnya, dia tidak begitu mengenali jiran di bilik lain kerana jarang keluar rumah.

"Jika diikutkan hanya seorang penghuni dibenarkan tinggal di dalam satu bilik di bangunan ini.

"Namun, ada penghuni membawa lebih daripada seorang ke bilik mereka sama ada untuk tinggal bersama atau lepak.

"Saya tidak tahu tahap kerosakan bilik saya sekarang kerana kami (penghuni) masih belum dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa," katanya.

Seorang lagi penghuni di bangunan berkenaan, Zulkifli Muhamed, 52, berkata, ketika kejadian, dia sedang makan di tempat kerja di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 5 petang.

"Jarak tempat kerja ke bangunan ini kira-kira 300 meter dan hanya mengambil masa lima minit. Apabila mendapat maklumat mengenai kejadian itu, saya terus bergegas pulang.

"Sebaik tiba di bangunan ini, saya tengok asap tebal keluar dari tingkat satu. Melihat keadaan itu, saya merasakan kebakaran itu tidak membabitkan bilik saya yang terletak di tingkat empat," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, seorang lelaki meninggal dunia, manakala 11 lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak mengalami sesak nafas dalam kejadian itu.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang sebelum 46 pegawai dan anggota bersama sembilan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ia membabitkan pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Pantai.

"Kebakaran itu membabitkan bilik di tingkat satu bangunan rumah kedai empat tingkat dan kami berjaya membawa keluar 12 mangsa yang terperangkap.

"Terdapat seorang lelaki meninggal dunia, manakala 11 lagi mangsa membabitkan tujuh lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak dilaporkan mengalami sesak nafas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima rawatan di zon kuning Unit Kecemasan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pihak bomba, manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:09 PM