ANGGOTA bomba mengusung turun seorang pesakit.
ANGGOTA bomba mengusung turun seorang pesakit.
KEADAAN rumah yang terbakar dalam kejadian tengah hari, semalam.
KEADAAN rumah yang terbakar dalam kejadian tengah hari, semalam.
Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Beberapa anggota bomba dan penyelamat sanggup berhempas pulas mendukung seorang wanita sarat mengandung menuruni tangga dari tingkat 20 pangsapuri selepas kediaman itu terbakar.

Dalam kejadian jam 12.49 tengah hari semalam, mangsa berusia 30-an dikatakan terperangkap sejurus sebuah unit kediaman di tingkat 16 kondominium di Lorong Sultan Abdul Samad, Bangsar, terbakar.

Difahamkan kebakaran berlaku di ruang dapur kediaman sebelum api marak dengan cepat.

Asap hitam kesan kebakaran itu menyebabkan mangsa sesak nafas dan terperangkap di kediamannya di tingkat 20.

Mangsa bagaimanapun, bernasib baik apabila anggota bomba bertindak pantas menyelamatkan mangsa dengan membawa turun menggunakan tangga bangunan.

Mangsa yang sarat mengandung lapan bulan kemudian menerima rawatan daripada pasukan Unit Kecemasan Penyelamat Perubatan (ERMS).

Difahamkan, asap tebal kesan kebakaran itu turut menyebabkan beberapa penghuni di tingkat 16 terperangkap hampir 30 minit di dalam kediaman masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, kebakaran berlaku apabila seorang penghuni terlupa menutup api dapur di rumahnya untuk menjawab panggilan telefon.

“Mangsa kemudian segera memberitahu pihak pengurusan berhubung kejadian itu sebelum anggota keselamatan membunyikan loceng kecemasan supaya penduduk segera meninggalkan kediaman mereka,” katanya.

Menurutnya, beberapa penghuni yang terperangkap tidak dapat keluar menyelamatkan diri berikutan asap tebal yang membakar barangan seperti sofa, permaidani dan langsir.

“Seramai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Hang Tuah bertungkus lumus memadam kebakaran dan membawa penghuni turun ke kawasan selamat.

“Api dikawal pada jam 2.27 petang dan penghuni juga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas tamat proses pemadaman,” katanya.

Sementara itu, penghuni Nur Hidayah Mohd Yunus, 32, berkata, dia tidak dapat keluar dari kediamannya berikutan asap tebal di luar rumah.

“Walaupun jarak pintu kecemasan hanya beberapa langkah dari rumah, saya tidak berani kerana haba terlalu tinggi.

“Saya kemudian mengambil cadar lalu rendamkan di dalam air sebelum meletakkannya di bawah pintu rumah bagi menghalang asap masuk.

“Saya berasa lega apabila bomba tiba beberapa minit selepas itu untuk memadam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pegawai dan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala mengusung seorang lelaki berusia 55 tahun dari rumahnya di tingkat sembilan pangsapuri Desa Mentari, di sini, jam 12.45 tengah hari semalam.

Mangsa yang baru dikeluarkan dari hospital beberapa hari lalu terpaksa diusung menggunakan papan pengusung kerana lif di kediamannya rosak.

Difahamkan mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 8:15 AM