ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kebakaran di sebuah unit apartmen di Taman Desa Country Homes. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kebakaran di sebuah unit apartmen di Taman Desa Country Homes. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Dugaan berganda buat seorang pemuzik jalanan apabila rumah sewa di apartmen di Taman Desa Country Homes, di sini, yang baru didiami tidak sampai sebulan terbakar, hari ini.

Lebih menyedihkan apabila Riswanto Razali, 38, yang tiada sumber pendapatan turut kehilangan harta benda dalam kejadian jam 12 tengah hari itu.

Riswanto berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bilik bersama isteri serta anak lelakinya berusia tujuh tahun sebelum menyedari tilam di ruang tamu terbakar.

"Saya cuba mengalihkan tilam berkenaan untuk memadam api namun gagal. Malah, api semakin marak menyebabkan saya bergegas mencari anak saudara perempuan berusia empat tahun yang berada di dalam tandas ketika itu.

"Saya membawanya masuk ke dalam bilik kerana kami gagal keluar akibat asap tebal. Beberapa minit kemudian, ada jiran datang membawa kami keluar dari rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, banyak barang mereka yang diletakkan di ruang tamu dalam keadaan masih belum dibuka musnah akibat kejadian itu.

"Saya dimaklumkan oleh persatuan penduduk bahawa kami boleh tinggal di dewan apartmen ini buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.35 tengah hari tadi.

"Seramai 11 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan bahagian ruang tamu sebuah unit apartmen di tingkat empat bangunan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, terdapat empat mangsa di rumah yang terbakar berkenaan termasuk dua kanak-kanak.

"Di kediaman di hadapan rumah yang terbakar itu, kami menyelamatkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

"Semua mangsa berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 3:47 PM