Rumah lima keluarga yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Rumah lima keluarga yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Lima keluarga membabitkan 15 penduduk yang tinggal di Jalan Haji Sirat di Renggam dekat sini hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Kejadian dipercayai bermula dari tingkat atas salah sebuah rumah yang dibina menggunakan papan sejak lebih 50 tahun itu.

Insiden itu menyebabkan sebuah keluarga kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Balai Raya Senari manakala empat keluarga lain menumpang di rumah keluarga terdekat di Renggam.

Anche Le Tewi Raman, 61, berkata rumah yang dibelinya dengan harga kira-kira RM20,000 lebih setahun lalu itu didiami bersama anak, menantu dan empat cucu.

Katanya, kebakaran bermula dari bahagian atas rumahnya dan hanya diketahui selepas diberitahu orang ramai yang kebetulan melalui kawasan kediaman mereka.

"Bimbangkan keselamatan nyawa, saya mengarahkan semua penghuni rumah segera keluar tanpa sempat membawa apa-apa termasuk dokumen penting seperti kad pengenalan.

"Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kami sekeluarga terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di Balai Raya Senari di Renggam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid berkata, 15 mangsa daripada lima keluarga berkenaan bakal ditempatkan di rumah sewa yang dibiayai Pejabat Daerah Kluang.

"Tiada mangsa tercedera dalam insiden kebakaran ini dan bantuan wang segera sebanyak RM300 akan diberikan kepada lima ketua keluarga berkenaan.

"Bantuan berkenaan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan keperluan makanan dan wang tunai sebanyak RM500 setiap keluarga yang disumbangkan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam.

"Adun Layang-layang Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Pejabat Daerah Kluang sedang mengenalpasti rumah yang boleh dijadikan rumah sewa bagi menempatkan lima keluarga ini dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 4:10 PM