GAJAH yang ditangkap Perhilitan Johor di Batu 43 Kampung Pinggir, Simpang Renggam. FOTO Ihsan Perhilitan
GAJAH yang ditangkap Perhilitan Johor di Batu 43 Kampung Pinggir, Simpang Renggam. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap tiga gajah liar susulan aduan penduduk di Batu 43, Kampung Pinggir, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, gajah pertama berjaya diikat kira-kira 1.30 tengah hari disusuli tangkapan seterusnya pada 2.15 dan 2.50 petang dalam operasi khas yang dijalankan selepas kumpulan gajah dilihat berada di dalam kebun berhampiran dengan Hentian Sebelah Simpang Renggam.

"Lapan anggota unit tangkapan gajah Perhilitan Johor terbabit dalam operasi itu dan tiga gajah ini adalah sebahagian daripada kumpulan gajah tersesat ke situ sejak seminggu yang lalu.

"Kawasan konflik gajah ini berlaku di sekitar Kampung Sri Timur, Felda Kahang Barat/Timur, Taman Sri Impian, Mardi Kluang, Ladang Sungai Kahang, Ladang Ulu Remis, Ladang Renggam, Felda Layang-layang, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Bukit Kenangan dan kawasan sekitarnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Salman berkata, Perhilitan Johor akan menjalankan pemantauan ke atas gajah berkenaan sehingga dipindahkan ke habitat baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:59 PM