Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 390 mangsa banjir dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun.

Kesemua mangsa daripada 115 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor.

Ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding malam tadi yang merekodkan seramai 388 mangsa daripada 114 mangsa.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang dibuka jam 6.30 petang semalam menempatkan 225 mangsa daripada 60 keluarga.

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja juga bertambah kepada 165 mangsa daripada 55 keluarga.

Semalam, 163 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di PPS sama.

Dungun yang pulih daripada banjir pada 20 Disember lalu sekali lagi dilanda bencana itu apabila PPS pertama di daerah berkenaan dibuka jam 4 petang semalam.

Kesemua penduduk berpindah ke PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan yang melanda kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 10:50 AM