Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu kekal seramai 463 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 8 pagi, kesemua mangsa membabitkan 149 keluarga itu berlindung di dua PPS di Dungun.

Dungun menjadi satu-satunya daerah yang masih terjejas akibat banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 237 mangsa daripada 88 keluarga berada di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor pula masih aktif bagi menempatkan seramai 226 mangsa daripada 61 keluarga.

Ketika ini, keadaan cuaca mendung di kebanyakan kawasan di Terengganu.

Banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu menyaksikan Dungun menjadi daerah paling terjejas.

Ia susulan banjir besar pada 25 Januari lalu di daerah berkenaan menyebabkan tiga rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui mereka dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 8:43 AM