SUKARELAWAN Southern Volunteer mengangkat keperluan pembersihan bagi misi fasa kedua SV ke Selangor dan Pahang.FOTO Omar Ahmad
SUKARELAWAN Southern Volunteer mengangkat keperluan pembersihan bagi misi fasa kedua SV ke Selangor dan Pahang.FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Seramai 700 sukarelawan Southern Volunteer (SV) dihantar ke Selangor dan Pahang bagi fasa kedua misi bantuan banjir ke negeri terbabit.

Penyelaras Misi Bantuan Banjir Southern Volunteers, On Jabbar berkata, pihaknya membahagikan tiga bahagian sukarelawan bagi melakukan kerja pembersihan tiga kawasan di negeri terjejas bencana alam itu.

Katanya bahagian pertama semalam sukarelawan digerakkan ke Shah Alam, manakala bahagian kedua esok ke Hulu Langat dan Bentong di Pahang.

"Fasa pertama, Isnin lalu SV lebih kepada misi bantuan penghantaran makanan ke Selangor dan semalam di Melaka, membabitkan 70 sukarelawan dengan peruntukan RM50,000.

"Untuk fasa kedua, kita fokus kepada kerja pembersihan fizikal, membersihkan kemudahan awam ataupun rumah kediaman yang teruk dilanda banjir selama lima hari," katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir SV di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, hari ini.

Selain bantuan fizikal, SV menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut menyediakan dua lori tangki air, dua lori kru, sebuah kren, dua lori RORO, lima kenderaan pacuan empat roda dan van penumpang serta peralatan pembersihan.

Misi susulan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu Southern Volunteers digerakkan bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 1:54 PM