Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Keadaan banjir di Batu Pahat dekat sini, masih lagi buruk dengan mangsanya meningkat, walaupun hujan tidak lagi melanda.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia mengakibatkan keadaan banjir termenung di kawasan terjejas di daerah itu.

"Batu Pahat walaupun hujan berhenti, tetapi airnya masih lagi termenung.

"Kebiasaannya, keadaan banjir termenung mengambil masa untuk paras banjir turun dan surut.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani sudah membuat penyelarasan untuk memastikan bahawa air termenung itu dapat keluar dengan cepat, Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan 'Sounthern Volunteers', sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar di sini, hari ini.

Hadir sama Azmi selain kesemua EXCO kerajaan negeri.

Onn Hafiz bersalaman bersama peserta pada Majlis Pelepasan Konvoi Southern Volunteers, Sukarelawan dan Agensi Kerajaan Pasca Banjir Negeri Johor di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Onn Hafiz bersalaman bersama peserta pada Majlis Pelepasan Konvoi Southern Volunteers, Sukarelawan dan Agensi Kerajaan Pasca Banjir Negeri Johor di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Peningkatan jumlah mangsa banjir dilaporkan membabitkan lokasi di Batu Pahat, Muar dan Kluang.

Batu Pahat dilaporkan terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila ia melonjak kepada 29,341 orang (8,278 keluarga) di 94 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari tadi.

Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,123 orang (1,240 keluarga) di 21 PPS, manakala Kluang bertambah tiga orang menjadi 1,313 mangsa (367 keluarga) di 12 PPS.

Sabtu lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan akan menempatkan 15 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec (kaki persegi sesaat) di kawasan kritikal banjir di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak bagi mempercepatkan aliran air banjir.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dilaporkan berkata, 10 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec sudah tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan.

"Operasi pam bergerak ini sebagai tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepatkan aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:29 PM