PASUKAN Sukarelawan 'Southern Volunteers' (SV) hari ini menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di Hulu Langat, Selangor. FOTO BERNAMA
PASUKAN Sukarelawan 'Southern Volunteers' (SV) hari ini menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di Hulu Langat, Selangor. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Iskandar Puteri: Kerajaan negeri melalui pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) hari ini menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor On Jabbar berkata, misi bantuan itu sejajar dengan titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pasukan sukarelawan itu bersama membantu meringankan beban mangsa di kawasan berkenaan.

"SV sangat responsif ke atas titah Tunku Mahkota Johor semalam, dan hari ini kita telah menggerakkan 37 sukarelawan ke sana dan ini adalah bantuan fasa pertama. Bagi fasa kedua kita akan berbincang mengenai keperluan kerja-kerja pembersihan.

"Barangan yang dibawa termasuk lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, tuala wanita, air mineral, biskut dan roti dengan nilai keseluruhan kira-kira RM50,000. Kesemuanya akan dihantar kepada pegawai daerah Hulu Langat," katanya.

On yang juga Ketua Kontinjen Misi Bantuan Banjir Southern Volunteers ke Hulu Langat berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir SV di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang sukarelawan SV, Chong Khai Siang, 36, berkata dia amat simpati dengan bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor dan walaupun keluarganya bimbang keselamatan dirinya namun dia lebih risau keselamatan mangsa banjir.

"Ini kali pertama saya terbabit dengan misi bantuan banjir yang besar dan ia sangat menyentuh hati. Saya tetap mahu pergi dan hulurkan bantuan kerana mereka amat-amat memerlukan bantuan kita," kata usahawan dari Johor Bahru.

Bagi M. Sivamani, 43, misi bantuan berkenaan amat penting dalam melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri dan sikap tolong menolong tanpa mengira bangsa dan agama.

"SV selalu menolong dan memberi bantuan kepada orang dan kali ini saya terharu kerana dapat membantu mereka di Hulu Langat meskipun bukan pertama kali tetapi ini bencana besar jadi ia sangat menyentuh hati," katanya.

Semalam, Tunku Ismail bertitah bahawa baginda telah mengarahkan SV bersiap sedia untuk berkhidmat di enam negeri terlibat bencana banjir ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 4:25 PM