Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Hampir 26 bank dan institusi kewangan di negara ini bersetuju memberikan moratorium antara tiga hingga enam bulan kepada mangsa banjir di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persetujuan hampir 26 bank dan institusi kewangan itu akan memberikan kelegaan kepada mangsa yang terjejas membina semula kehidupan mereka.

"Alhamdulillah, hampir 26 bank dan institusi kewangan bersetuju berikan moratorium kepada mangsa banjir dan saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

"Perdana Menteri semalam menjawab di Sidang Dewan Rakyat mengenai arahan supaya semua bank membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

"Perdana Menteri semalam sudah memaklumkan, tiga bank bersetuju memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di Johor membabitkan Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd (CIMB) dan Agrobank," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan 'Sounthern Volunteers', sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar di sini, hari ini.

DATUK Onn Hafiz Ghazi mengibarkan bendera sebagai gimik Majlis Pelepasan Konvoi Southern Volunteers, Sukarelawan dan Agensi Kerajaan Pasca Banjir Negeri Johor . FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Onn Hafiz Ghazi mengibarkan bendera sebagai gimik Majlis Pelepasan Konvoi Southern Volunteers, Sukarelawan dan Agensi Kerajaan Pasca Banjir Negeri Johor . FOTO Nur Aisyah Mazalan

Hadir sama Setiausaha Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Exco kerajaan negeri.

Semalam, Maybank, CIMB dan Agrobank dilaporkan bersetuju memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di Johor.

Anwar semasa pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, dengan langkah itu, beliau turut menghubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil.

Isnin lalu, Onn Hafiz dilaporkan memohon kepada Anwar supaya mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 1:50 PM