TUNKU Azizah berkenan mencemar duli menziarah mangsa banjir di Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
TUNKU Azizah berkenan mencemar duli menziarah mangsa banjir di Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Dengkil: Prihatin dengan mangsa banjir, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat mangsa banjir di sini, hari ini.

Baginda tiba pada jam 5.10 petang dan beredar sejam kemudian ditemani juruiring Istana Negara, Datuk Mohamed Zahari Yahya.

Baginda sempat beramah mesra bersama mangsa banjir, sebelum turut berkenan melawat kediaman penduduk dinaiki air di Taman Emas dan Taman Kristal menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pada masa sama baginda turut menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Dengkil dan Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kampung Ahmad Razali.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said.

Kakitangan kerajaan, Nafizah Mohamad, 38 berkata, dia terharu atas keprihatinan Raja Permaisuri berangkat menziarahi mangsa banjir di kawasan itu.

"Ia menunjukkan baginda mengambil berat kesusahan dialami rakyat.

"Terima Kasih Tuanku kerana sudi datang, sekurang-kurang kesusahan dialami kami sedikit terubat dengan kehadiran Tuanku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:59 PM