AL-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah bergambar bersama pengunjung restoran. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah bergambar bersama pengunjung restoran. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Daulat Tuanku, Agong disayangi rakyat Malaysia... 'simplenya' pakaian Tuanku," kata Ren Terez.

Itu antara luahan rasa terharu warganet di ruangan komen Facebook (FB) rasmi Istana Negara memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat secara mengejut mengunjungi restoran makanan segera di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur untuk menikmati santapan tengah hari, hari ini.

Turut berangkat paduka anakanda dan cucunda Seri Paduka Baginda berdua.

Di restoran itu, Seri Paduka Baginda berdua dan paduka anakanda serta cucunda berkenan beratur di kaunter bersama pengunjung restoran lain untuk membuat pesanan.

AL-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong ketika membuat pesanan. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
AL-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong ketika membuat pesanan. FOTO Ihsan FB Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan di restoran itu bersama pengunjung lain.

Selesai santapan, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa bertanya khabar, beramah mesra serta merakam gambar dengan beberapa pengunjung restoran.

Antara komen warganet lain dalam hantaran di FB Istana Negara itu ialah Ikhwan Din yang berkata, moga seluruh kepimpinan negara seperti ini.

"Baginda boleh sahaja titahkan KFC hantar ke istana, atau buka sahaja restoran itu di istana. Tetapi sikap berjiwa rakyat, Tuanku sanggup luangkan masa di luar untuk bersama rakyat. Daulat Tuanku," itu pula komen Mohd Razif Bin Sohimi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 9:53 PM