Ahmad Hasbi

Seremban: Satu kata sepakat tercapai hasil perbincangan antara pengusaha sebuah tadika, wakil ibu bapa dan penduduk di sebuah taman di Sendayan di sini, berhubung dakwaan tiga lelaki mengetuk pintu tadika kerana tidak berpuas hati akibat bising, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kes berkenaan dianggap selesai dan tidak mahu mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan keadaan sehingga mencetuskan keadaan tidak tenteram.

"Perjumpaan pada petang ini (semalam) antara pihak tadika, penduduk yang terbabit dan wakil ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat asuhan ini untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kata putus sudah diperoleh yang mana pihak tadika akan mengubah lokasi mereka ke satu tempat yang akan ditentukan kemudian.

"Pihak penduduk juga bersetuju supaya perkara ini tidak diperbesarkan," katanya ketika ditemui.

Rundingan diadakan di tadika berkenaan pada 4 petang semalam, hasil cadangan daripada pihak polis.

Nanda (dua dari kanan) ketika hadir di perbincangan di sebuah tadika di Sendayan dekat Seremban semalam. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Nanda (dua dari kanan) ketika hadir di perbincangan di sebuah tadika di Sendayan dekat Seremban semalam. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sebagai Ketua Polis Daerah Seremban, menurutnya, dia tidak mahu timbul sebarang keadaan tidak tenteram di kawasan pentadbirannya dan memikul tugas untuk menjadi orang tengah supaya isu berkenaan diselesaikan dengan cara baik.

"Perkara ini sudah dianggap selesai dan sepatutnya tidak timbul lagi masalah yang ditularkan di mana-mana media sosial. Saya harap semua pihak faham dan bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam," katanya.

Pada 13 Disember lalu, polis menerima laporan daripada pihak pengusaha tadika yang mendakwa jiran di belakang pusat asuhan berkenaan mengetuk pintu premis menggunakan objek besi sambil mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan.

Susulan kejadian itu, tular tiga rakaman video masing-masing berdurasi dua minit 49 saat, 59 saat dan 49 saat yang menunjukkan tiga lelaki memegang objek sambil mengetuk pintu pagar di belakang premis itu.

Terdengar juga dialog lelaki berkenaan seolah berada dalam keadaan marah kerana bunyi bising dari tadika berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 10:56 AM