Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan bapa kepada 'Baby Syifaa', Yuseri Yusoff, 39, supaya tidak memuat naik sebarang kenyataan atau dokumen berkaitan kes kematian kanak-kanak itu dan inkuesnya di media sosial sehingga prosiding selesai.

Perintah interim itu dikeluarkan Hakim Rushan Lutfi Mohamed selepas mendapat permohonan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly.

Prosiding yang ditetapkan hari ini sepatutnya didengar di Mahkamah Koroner namun hakimnya sedang mengikuti kursus.

Pada prosiding berkenaan Husni berkata, permohonan itu secara dasarnya bagi menghalang Yuseri untuk membuat apa-apa komen atau perkongsian di Facebook (FB) yang menyentuh peranan dan tanggungjawab mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan polis.

"Ia juga bagi memastikan prosiding inkues ini berjalan lancar dan pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan pada hari ini dan ia akan diserahkan kepada Yuseri.

"Sementara pendengaran inkues ini didengar di mahkamah, saya mohon beri satu perintah sementara bagi menghalang Yuseri membuat apa-apa komen berkaitan inkues ini sehingga satu perintah dikeluarkan mahkamah," katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati Yuseri, Gaithri Thomas mempersoalkan jurugambar polis tidak berada dalam senarai saksi yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Gaithri berkata, jurugambar antara individu penting dalam prosiding inkues itu kerana individu berkenaan yang mengambil gambar Baby Syifaa dan tempat kejadian.

"Pada tarikh lalu, kami ada menerima beberapa salinan senarai saksi yang mana senarai saksi pertama terdapat 28 orang dan kedua ada 10 orang.

"Bila kami teliti senarai saksi itu, kami dapati jurugambar tiada. Saya sudah keluarkan notis kepada pihak pendakwa raya untuk memanggil jurugambar pada tarikh perbicaraan," katanya.

Pihak pendakwaan kemudiannya bersetuju memasukkan jurugambar dalam senarai saksi pendakwaan.

Seorang lagi peguam pemerhati Yuseri, Muhammad Amin Anuar berkata, pihaknya juga akan mengemukakan senarai saksi sendiri kepada pihak pendakwaan bagi membantu mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 September, 10 November dan 17 November depan sebagai tarikh bicara.

Yuseri yang turut hadir di mahkamah kelihatan berang dengan keputusan itu sebelum meluru keluar dari kamar mahkamah.

Turut hadir pada prosiding itu, peguam pemerhati pengasuh, Norliana Ali Othman.

Media pada 23 Februari lalu melaporkan Baby Syifaa ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan dekat Sendayan, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

YUSERI bersama isterinya hadir di mahkamah untuk mendengar proses inkues berkaitan kematian bayi perempuan berusia 15 bulan ketika dalam jagaan di sebuah pusat jagaan di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham
YUSERI bersama isterinya hadir di mahkamah untuk mendengar proses inkues berkaitan kematian bayi perempuan berusia 15 bulan ketika dalam jagaan di sebuah pusat jagaan di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:41 PM