Tiga video yang tular menunjukkan tiga lelaki mengetuk pintu pagar dalam keadaan marah yang berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Tiga video yang tular menunjukkan tiga lelaki mengetuk pintu pagar dalam keadaan marah yang berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis menasihatkan penduduk khususnya di Bandar Sri Sendayan, di sini, supaya tidak memperbesarkan kejadian tiga lelaki yang mengetuk pintu sebuah tadika di taman berkenaan dalam keadaan marah kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya menerima satu laporan polis jam 3.51 petang semalam daripada pihak pusat asuhan kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berkenaan sebenarnya hanya perselisihan faham antara jiran dengan pengusaha tadika akibat bunyi bising daripada kanak-kanak yang sedang belajar.

"Kejadian sebenar cuma berlaku perselisihan faham antara jiran belakang dan pihak tadika. Tindakan awal sudah diambil dengan memanggil semua yang terbabit.

"Hasil perbincangan awal dan persetujuan dicapai supaya perkara ini tidak dipanjangkan. Pihak polis berharap kejadian ini tidak diperbesarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan supaya bertenang kerana keselamatan mereka dan kanak-kanak terjamin.

"Jangan ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan sebarang fitnah dan berhenti menyebarkan video kejadian. Keadaan semasa adalah terkawal.

Sejak semalam, tular tiga rakaman masing-masing berdurasi dua minit 49 saat, 59 saat dan 49 saat yang menunjukkan tiga lelaki memegang objek sambil mengetuk pintu pagar bahagian belakang sebuah premis.

Terdengar juga dialog lelaki berkenaan seolah berada dalam keadaan marah kerana bunyi bising dari tadika berkenaan.

Video yang dimuat naik di laman Facebook itu disertakan dengan kenyataan berbunyi tiga lelaki mengamuk di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan dan menimbulkan ketakutan kepada guru dan anak taska.

"Waktu berlaku jam 11.45, mereka menggunakan besi ketuk pintu dan mengeluarkan perkataan yang berunsur ugut. Punca mengamuk sebab kanak-kanak bising," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 4:30 PM