Ahmad Hasbi

Seremban: Modus operandi mereka adalah menggunakan alat pemecah cermin sebesar ibu jari untuk memecahkan cermin tiga segi pada sisi bahagian belakang kereta sebelum melarikan barang berharga.

Geng yang terdiri daripada tujuh individu warga asing itu dikesan aktif melakukan jenayah pecah kereta di sekitar Seremban sejak Januari lalu, malah dipercayai turut terbabit dalam kejadian di negeri lain.

Bagaimanapun, kesemua suspek ditahan pada 17 dan 19 Februari lalu, di Jalan Reko, Kajang, Selangor, hasil risikan dan intipan yang dilakukan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tangkapan berkenaan susulan 12 laporan yang diterima di daerah itu berhubung kejadian curi dalam kenderaan.

"Pada 17 Februari lalu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga negara jiran masing-masing berusia 34 dan 30 tahun yang dipercayai berperanan melakukan pecah kenderaan.

"Mereka dipercayai suami isteri. Pihak kami menemui satu pas wartawan dari negara jiran milik lelaki berkenaan, bagaimanapun polis masih mengenalpasti sama ada ia asli atau sebaliknya," katanya pada sidang media, hari ini.

NANDA Maarof menunjukkan pas media yang dimiliki salah seorang suspek pada sidang media kes curi barang dalam kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban. FOTO Azrul Edham.
NANDA Maarof menunjukkan pas media yang dimiliki salah seorang suspek pada sidang media kes curi barang dalam kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban. FOTO Azrul Edham.

Nanda berkata, hasil soal siasat terhadap pasangan itu, pihaknya menahan tiga lelaki dan dua wanita warga negara sama berusia 26 hingga 43 tahun di sekitar Jalan Reko, pada 19 Februari lalu yang berperanan sebagai orang tengah atau penjual barang curi.

"Polis juga berjaya merampas pelbagai barang kes dipercayai hasil curi dan peralatan yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta. Antaranya beg galas, beg tangan, komputer riba, telefon bimbit dan cincin.

"Turut ditemui alat pemecah cermin kereta. Mereka menggunakan alat ini untuk memecah cermin segi tiga pada sisi bahagian belakang kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi," katanya.

Tambahnya lagi, kesemua suspek masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong dan menyewa di sekitar Jalan Reko.

"Dengan tertangkapnya semua suspek ini, pihak kami percaya berjaya menyelesaikan tujuh daripada kes pecah kenderaan di Seremban dengan nilai kerugian dianggarkan RM33,700.

"Suspek sama juga dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian di negeri lain. Semua suspek kini direman sehingga 24 Februari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 1:31 PM