LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian culik dan bunuh di Bandar Springhill, di sini, pada 13 November lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson esok.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebelum ini, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 42 tahun ditahan reman 10 hari selepas ditahan pada 7 Disember lalu.

"Siasatan sudah dilengkapkan serta dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) pada 16 Disember.

"Dua suspek berusia 40 dan 42 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302/364/170 Kanun Keseksaan bersama dua orang yang sudah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas.

"Pertuduhan akan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun yang sama manakala dua orang yang lain dibebaskan sebagai saksi," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aidi Sham berkata, jika sabit kesalahan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan menetapkan penjara selama tempoh dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi Seksyen 364 Kanun Keseksaan, hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebat dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 11:15 PM