Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh pada 13 November lalu.

Tertuduh, M Murugan, 44, yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan dan penganggur, Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas dituduh menculik dan membunuh A Vasudevan, 39.

Perbuatan itu dilakukan pada 13 November di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Bandar Springhill, Lukut, di sini.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas didapati menyamar sebagai polis kepada S Hindumathy, 38, pada tarikh dan di lokasi sama.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:19 PM
MURUGAN dan Wong dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan menyamar polis, menculik dan membunuh dua minggu lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MURUGAN dan Wong dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan menyamar polis, menculik dan membunuh dua minggu lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin