PISAU yang dirampas pihak polis. FOTO Ihsan Polis
PISAU yang dirampas pihak polis. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki warga India maut dipercayai ditikam selepas bertengkar dengan rakan di sebuah rumah di Taman Happy Jalan Pantai Batu 1, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai minum minuman keras di dalam bilik suspek, seorang lelaki warga Pakistan di tingkat atas kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, sebelum mangsa ditikam dengan sebilah pisau.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di bahagian dapur di tingkat bawah rumah itu oleh Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson pada 1.50 pagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, Aidi Sham berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 26 tahun di hadapan rumah berkenaan.

Katanya, polis turut merampas pakaian, telefon bimbit dan sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter milik suspek yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

"Suspek seorang pekerja am yang juga teman serumah mangsa. Suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Januari.

"Siasatan polis mendapati, simati berusia 22 tahun berketurunan Punjab dan berasal dari India serta bekerja di tempat sama dengan suspek.

"Mangsa baru bekerja di Port Dickson sejak setahun lalu. Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, esok," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 3:11 PM