Tinjauan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dilihat lenggang tanpa pengunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dilihat lenggang tanpa pengunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Pengendali perkhidmatan pengangkutan awam di pekan Rantau Panjang di sini bagaikan telur di hujung tanduk apabila hilang punca pendapatan susulan terkesan dengan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Pemandu bas, kereta sewa dan penunggang motosikal tambang enggan terus berada dalam keresahan, sebaliknya menyeru pihak kerajaan mencari inisiatif supaya pintu sempadan dapat dibuka semula sekali gus menyelamatkan sumber pendapatan mereka.

Tinjauan di sekitar Stesen Bas Rantau Panjang yang menjadi lokasi mereka beroperasi juga dilihat lenggang tanpa pengunjung dengan tinggal hanya beberapa pemandu kereta sewa serta motosikal tambang yang mencuba nasib jika ada pelanggan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Rantau Panjang, Che Abd Rahim Che Razak berkata, situasi berkenaan berlaku sejak dua tahun lalu kerana tiada aktiviti keluar masuk antara dua negara yang sebelum ini rancak tanpa kebimbangan terhadap ancaman virus Covid-19.

"Sebelum ini, pelanggan kami hampir 90 peratus adalah warga Thailand yang mempunyai dokumen sah untuk keluar masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

"Namun, apabila sempadan ditutup pelanggan kami juga hilang. Majoriti pemandu teksi terpaksa mencari kerja lain seperti menjadi buruh, pemandu lori dan bercucuk tanam demi sesuap nasi," katanya ketika ditemui di Stesen Bas Rantau Panjang di sini, hari ini.

Selain perkhidmatan pengangkutan awam, turut terkesan dengan penutupan pintu sempadan adalah peniaga kedai makan hingga ada yang gulung tikar sejak pandemik Covid-19 melanda.

Manakala bagi perkhidmatan bas, hanya empat kaunter tiket beroperasi berbanding 14 sebelum ini kerana difahamkan tidak sampai 10 bas sahaja beroperasi dalam sehari, berbeza sebelum pandemik iaitu lebih 50 bas ke pelbagai destinasi.

Sementara itu, pengendali motosikal tambang, Wan Zain Wan Harun, 58, berkata, dia hanya mampu memperoleh RM3 sehingga RM5 sehari dan ada masanya pulang dengan tangan kosong.

"Jika dahulu, kami yang paling aktif membawa keluar dan masuk mereka yang ingin ke pekan Golok termasuk pelancong.

"Tetapi kini semuanya tidak sama lagi, ramai antara kami yang mula berputus ada dan mencari inisiatif lain untuk mencari rezeki. Justeru saya berharap kerajaan dapat membuka semula pintu sempadan yang juga menjadi punca rezeki kami.

"Kami juga takut dengan penularan wabak, namun pasti ada cara terbaik boleh diambil kerajaan supaya nasib kami terbela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 12:58 PM