ROKTU yang masih beroperasi dilihat mengambil penumpang di hadapan perhentian bas dan kereta sewa di Rantau Panjang.
ROKTU yang masih beroperasi dilihat mengambil penumpang di hadapan perhentian bas dan kereta sewa di Rantau Panjang.
Muhamaad Razis Ismail


Rantau Panjang: Kurang sebulan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) kepada van persendirian dari Thailand digantung sementara, van berkenaan dilihat kembali beroperasi.

Tinjauan Harian Metro ke bandar ini mendapati beberapa van jenis itu dipanggil roktu masih beroperasi dengan penumpang dihimpunkan betul-betul di hadapan perhentian bas dan kereta sewa Rantau Panjang selepas diambil dari beberapa kawasan menggunakan motosikal.

Penumpang dipercayai berkumpul di kawasan itu dianggap seperti hentian sebelum van terbabit mengambil mereka apabila kuota penumpang mencukupi.

Difahamkan van berkenaan membawa pekerja dari Thailand ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan bayaran mampu bayar, selain lokasi berhampiran.

Yang Dipertua Persatuan Kereta Sewa Rantau Panjang Che Abd Rahim Che Razak berkata, sejurus MKN mengumumkan menggantung sementara ICP, roktu dari negara jiran tidak masuk ke negara ini untuk tempoh seminggu.

Katanya, situasi itu sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya dan pemandu lain memperoleh pendapatan lumayan.

“Bagaimanapun, ia mampu bertahan beberapa hari saja dan selepas itu mereka (operator roktu) kembali beroperasi seperti sebelum ini, macam 10 tahun lalu.

“Mereka berani mengambil penumpang di kawasan terletak 50 meter dari stesen kereta sewa.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat hak kami dirampas orang luar,” katanya.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan kerakusan pengusaha van dari Thailand yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda apabila ia menyalahgunakan permit ICP dan ‘mencuri’ penumpang yang sepatutnya menjadi milik pengusaha kereta sewa tempatan.

Susulan daripada itu MKN menerusi Datuk Seri Alias Ahmad memutuskan untuk menggantung pengeluaran ICP ke atas van persendirian yang membawa pelancong dari Thailand ke Malaysia, berkuat kuasa serta merta sehingga satu tempoh diberitahu kelak.

Keputusan itu dibuat selepas pengusaha van itu dikesan menyalahgunakan ICP dikeluarkan dengan membawa penumpang sehingga Kuala Lumpur dan Johor.

Perkara sama turut diakui pemandu kereta sewa Ibrahim Mamat, 57, yang berkata, sejak roktu kembali ligat mengambil penumpang, pendapatan mereka mulai terjejas.

“Selepas penguatkuasaan itu, ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan kami. Ketika itu, bolehlah dapat antara RM50 sehingga RM100 sehari.

“Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, pendapatan kami terjejas, nak dapatkan seorang penumpang pun susah.

“Saya sarankan pejabat pihak berkuasa ditempatkan di sini untuk memastikan mereka tidak mengambil kesempatan.

“Memang kebiasaan begini, jika ada operasi, mereka boleh menghidu kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Malangnya, dia berkata, sebaik penguatkuasaan diperlahankan, pemandu van asing akan mulakan operasi mereka tanpa bimbang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:07 AM