ISMAIL  (dua dari kiri) melihat  kereta yang disita.
ISMAIL (dua dari kiri) melihat kereta yang disita.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan wujud individu atau sindiket menjadi dalang kegiatan kereta sapu haram dari Thailand yang membanjiri negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pihaknya memerlukan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan itu.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dijalankan di tiga pintu masuk utama negara di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Kumpulan ini biasanya membabitkan sindiket, ada kepala dipercayai dari negara jiran. Mereka sepatutnya hanya menghantar penumpang tidak melebihi dua kilometer dari sempadan negara, tetapi tidak berbuat demikian dan terus menghantar penumpang ke destinasi seperti Johor Bahru, Melaka dan Kuantan.

“Bidang kuasa kita (JPJ) lebih kepada kenderaan. Oleh sebab itu, kami perlu bersama dengan SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket itu,” katanya pada sidang media susulan operasi khas membanteras kereta sapu di sempadan di Pejabat JPJ Kelantan, Panji, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JPJ negeri Mahasan Mustapa; Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff dan Penasihat Persatuan Pemandu Kereta Sewa Kelantan Datuk Aziz Derashid.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pendapatan 300 pemandu kereta sewa di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang terjejas teruk sejak 20 tahun lalu berikutan lambakan kereta sewa dari negara jiran yang membawa masuk pelancong sehingga ke Kuala Lumpur.

Aziz yang mendedahkan perkara itu berkata, berikutan sikap keterbukaan di negara ini menyebabkan pemandu kereta sewa dari negara jiran mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sehari.

Ismail berkata, dalam operasi khas itu, 17 kenderaan dari Thailand dikompaun RM600 kerana menyalahgunakan permit edaran antarabangsa (ICP) dan tidak memiliki perlindungan insurans.

Beliau berkata, dua lelaki warga Thailand ditahan kerana merasuah anggota JPJ bertugas RM180 selain menahan sembilan kereta klon.

“Dalam hal ini, saya dapat aduan mengatakan ada segelintir teksi tidak memberi perkhidmatan cekap berbanding pengusaha Thailand. Jadi, persatuan teksi perlu mengambil perhatian perkara ini dan melakukan perubahan bagi menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 6:41 AM