Noor Hidayah Tanzizi


Tanjung Malim: Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia akan ditubuhkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, bagi menerajui penyelidikan dan mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.

Penubuhan pusat berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada ucapan perasmian Keluarga Malaysia @ Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Dewan Tuanku Canselor UPSI hari ini.

Ismail Sabri berkata, ia ditempatkan di universiti berkenaan bersesuaian dengan jolokannya sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan.

"Menjadi harapan saya agar pusat ini nanti berupaya menginstitusikan Keluarga Malaysia dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu dalam kalangan warga Malaysia.

"Saya sangat optimis, dengan kreativiti, inovasi serta kolaborasi strategik membabitkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai pengkayaan Keluarga Malaysia," katanya.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Luar Negeri di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Luar Negeri di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang melancarkan Keluarga Malaysia @ IPT dan menyeru warga IPT, khususnya anak muda untuk menghayati teras dan nilai utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Sedar atau tidak, kebanyakan masa, khususnya penuntut sekalian berluang masa di kampus dengan rakan-rakan seperjuangan dan juga pensyarah dan ia menyerlahkan kebersamaan sebagaimana semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Kata beliau, uniknya institusi pengajian tinggi seperti UPSI, ia dilatari kepelbagaian agama, bangsa, usia serta latar belakang ekonomi.

"Tuntasnya, persekitaran ini membentuk keluarga baharu kepada penuntut sekalian dan disinilah lahir idea untuk membentuk Keluarga Malaysia @ IPT.

"Aura Keluarga Malaysia dilakar melalui kerjasama yang harmoni, sikap saling menghormati dan keterbukaan penuntut terhadap perbezaan," katanya.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:02 PM