DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Aswadi Alias
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Aswadi Alias
Muhammad Yusri Muzamir


Tanjung Malim: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan keyakinan beliau terhadap golongan muda bagi menentukan pemimpin negara pada masa hadapan.

Perdana Menteri juga menyangkal pandangan sesetengah pihak yang skeptikal terhadap keputusan kerajaan berikutan mereka menganggap golongan muda masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.

Beliau juga berkata, golongan muda terutamanya mahasiswa boleh bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, tetapi setiap perkara dikatakan mestilah mempunyai fakta selain pentadbiran hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ia dibuktikan apabila usul Undi 18 diluluskan.

"Kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin. Bermula 1 Januari depan, semua anak muda berumur 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi, insya-Allah.

"Apabila PRU (Pilihan Raya Umum ke-15) diadakan, kerajaan akan pastikan mereka boleh mengundi," katanya ketika merasmikan Program Keluarga Malaysia@IPT 2021 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Yaakob, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia bakal ditubuhkan di UPSI selari dengan jolokannya sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan.

Beliau berkata, menjadi harapannya agar pusat berkenaan bakal berupaya menginstitusikan 'Keluarga Malaysia' dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ismail Sabri juga optimis dengan kreativiti, inovasi dan kolaborasi strategik membabitkan pelbagai pihak dengan pusat berkenaan dapat memainkan peranan signifikan dalam meningkat, mempromosi serta menyebarluaskan lagi konsep dan usaha membudayakan nilai pengkayaan Keluarga Malaysia.

"Uniknya institusi pengajian tinggi seperti UPSI ini dilatari kepelbagaian agama, bangsa, usia dan latar belakang ekonomi. Bagi merentasi hari, kita memerlukan semangat serta nilai kekeluargaan. Umpama aur dan tebing, tiada aur, runtuhlah tebing.

"Persekitaran ini telah membentuk keluarga baharu kepada pelajar sekalian dan di sinilah lahirnya idea untuk membentuk Keluarga Malaysia@IPT. Aura Keluarga Malaysia dilakar melalui kerjasama yang harmoni, sikap saling menghormati dan keterbukaan pelajar terhadap perbezaan," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri mengakui kunjungannya ke UPSI mengimbau memori beliau ketika bergelar mahasiswa di Universiti Malaya selain menyuarakan keterujaan ketika melangkah ke dalam dewan dan melihat wajah ceria anak muda di Dewan Tuanku Canselor, di sini.

Ismail Sabri berkata, beliau terkenang memorinya ketika sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti di universiti selain pernah mengetuai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada 1982/83.

"Seperti anak-anak sekalian, begitulah juga saya ketika itu dan saya juga sempat bergiat aktif di dalam kampus. Bersama saya Takiyuddin (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) yang juga merupakan pemimpin kampus.

"Semasa saya menjadi pelajar di UM, saya terlibat dengan aktiviti kampus, waktu itu saya menjadi Presiden PMUM 1982/83 dan Takiyuddin mengambil alih kepimpinan saya pada 1983/84," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dan Ketua Wanita UMNO dan warga Kementerian Pengajian Tinggi kerana mencapai sasaran ditetapkan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:53 PM