BERNAMA

Pasir Salak: Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketibaan Perdana Menteri di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini kira-kira pukul 11.30 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dengan diiringi paluan kompang kira-kira 30 peserta Persatuan Kompang Kampung Gajah.

Antara yang turut menghadiri program ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yaziz, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang dijadual berakhir jam 6 petang hari ini.

AKM yang dicetuskan Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember tahun lalu.

ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dari kiri) ketika tiba bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dari kiri) ketika tiba bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 12:58 PM