Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Tanjung Malim: Penuntut boleh menjadi kritis dan kritikal dalam menyuarakan pandangan terhadap kerajaan tetapi tidak secara beremosi dan melulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penuntut perlu bertanggungjawab dengan setiap tindakan dan pandangan yang dikeluarkan serta mesti mempunyai fakta juga bukti.

"Apabila bertemu dengan pemimpin penuntut, satu daripada soalan ditanya ialah, bolehkah kami bersikap kritis dan kritikal terhadap kerajaan. Saya kata boleh meluahkan perasaan dan pandangan berkaitan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Yang penting perlu bertanggungjawab dengan setiap tindakan dan apa dikeluarkan oleh penuntut mesti mempunyai fakta dan bukti, tidak secara emosi," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Keluarga Malaysia @ Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Dewan Tuanku Canselor ,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ia dibuktikan melalui kelulusan Undi 18 yang memberi peluang kepada golongan itu menentukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara.

"Ramai yang tidak yakin dan skeptikal terhadap keputusan kerajaan dalam hal ini kerana mereka ini dianggap masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.

"Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin.

"Bermula 1 Januari 2022, semua anak muda berusia 18 tahun ke atas, secara automatik akan menjadi pengundi. Kalau Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan (nanti), kita pastikan mereka boleh mengundi untuk menentukan masa depan negara," katanya.

Program Keluarga Malaysia @ IPT tercetus hasil daripada manifestasi aspirasi Perdana Menteri untuk melihat nilai Keluarga Malaysia diterap dan dibudayakan khusus dalam kalangan IPT.

UPSI turut menganjurkan ekspo Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) KPT yang menampilkan empat AKM 100 Hari KPT, iaitu pameran GETHIRED @ KPT oleh 16 syarikat yang memberi peluang kepada orang ramai menghadiri temuduga terbuka.

Program FOOD @ CAMPUS Keluarga Malaysia yang membolehkan penuntut membuat penebusan baucar makanan, VACC2CAMPUS pula menyaksikan pemberian vaksin penggalak kepada kakitangan serta penuntut UPSI selain RTK @ CAMPUS.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 12:40 PM