SYED Razlan mengadakan sidang media di pejabat PAUPM.
SYED Razlan mengadakan sidang media di pejabat PAUPM.
SYED Razlan bersama barisan exco PAUPM.
SYED Razlan bersama barisan exco PAUPM.
Oleh Mohamad Hussin


Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) membantah cadangan menubuhkan Universiti Agro Industri kerana institusi pendidikan tinggi (IPT) sedia ada sudah cukup menampung keperluan pendidikan tinggi dalam bidang pertanian.

Ia disifatkan pembaziran kerana memerlukan kos tinggi bagi menampung pelbagai kos, malah tidak mampu menarik minat pelajar untuk mengikuti program ditawarkan.

Presidennya, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan dana itu meningkatkan pembangunan institusi pertanian sedia ada.

“UPM tmemberi penekanan semula kepada pertanian melalui slogan, ‘Pertanian, Inovasi, Kehidupan’.

“Kini, UPM menduduki tempat terbaik di bidang pertanian di Asia Tenggara, ke-7 di Asia dan ke-54 terbaik dunia.

“Dari segi pengisian kurikulum pertanian, 70 peratus praktikal dan 30 peratus akademik.

“Kami menyangkal dakwaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa UPM hanya mengajar teori adalah kurang tepat,” katanya pada sidang media di pejabat PAUPM, Serdang, baru-baru ini.

Pihaknya percaya cadangan itu tidak melalui kajian, risiko, dasar, kewangan dan penilaian yang mendalam serta merujuk badan-badan yang berkaitan terutamanya Kementerian Pendidikan yang menjadi tunjang penentu hala tuju aspek pendidikan di negara ini.

“Cadangan itu tergesa-gesa dengan matlamat sangat kabur.

“Selain UPM, terdapat beberapa universiti lain turut mendukung bidang pertanian seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Pertanian Bukit Tangga, Institut Pertanian Serdang, Selangor; Institut Pertanian Bumbong Lima, Pulau Pinang.

“Institut Pertanian Kuala Lipis, Pahang; Institut Pertanian Titi Gantong, Perak; Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor; Institut Pertanian Semanggok, Sarawak; Institut Pertanian Timbang Menggaris, Sabah termasuk Kolej Risda dan Kolej Felcra,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan universiti baru itu bukan membabitkan kos pembinaan dan insfrastruktur saja, malah termasuk kos sumber manusia, pengajar, kakitangan, logistik, pakar, penyelidikan, sosio-ekonomi dan bidang penyelenggaraan khususnya untuk jangka masa panjang.

Cadangan berkenaan disuarakan Ismail Sabri yang mahu menempatkan 100 penuntut bagi menjalani pengajian peringkat diploma di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) pada Ogos atau September tahun ini.

Pelajar berkenaan kemudiannya akan dipindahkan ke kampus tetap yang tapaknya kini dikenal pasti oleh Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pahang.

IPTS bertaraf universiti itu ditubuhkan di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan MARDI dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur, ia menawarkan pengajian dalam jurusan pertanian yang lebih bersifat teknikal dan menjurus kepada kehendak industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 12:44 PM